08 Mac 2011

Situasi 16: Kesalahan ejaan pada papan tanda.



Salam Ukhwah.

Beberapa minggu yang lalu aku telah berkunjung ke Kuala Lumpur dengan dua orang sahabat baikku. Niat utama ialah untuk menghilangkan tekanan dengan lambakan tugasan yang begitu membebankan fikiran. Ketika aku berlegar-legar di kawasan Dataran Merdeka Kuala Lumpur, aku terpandang  pada sebuah papan tanda yang didirikan berhampiran dengan Dataran Merdeka, salah satu daripada tujuannya adalah untuk menunjukkan arah atau letaknya “Kelab Di Raja Selangor”, iaitu di tepi Dataran Merdeka.  Dalam papan tanda tersebut, ejaan kata “Di Raja” yang digunakan dalam frasa “Kelab Di Raja Selangor” sebenarnya tidak tepat. Kata “Di Raja” sepatutnya dieja “Diraja”, kerana “Di” pada kata tersebut bukanlah awalan ataupun kata sendi nama, tetapi merupakan sebahagian daripada kata dasar. Kata “diraja” sebenarnya merupakan kependekan daripada kata “adiraja”, dan dalam bidang linguistik, proses pembentukan kata tersebut dikenali dengan istilah “aferesis”. Aferesis iaitu pengguguran atau penghilangan satu huruf di awal kata, seperti hujung menjadi ujung dan hulu menjadi ulu. Jadi, ejaan frasa “Kelab Di Raja Selangor” sepatutnya diubah menjadi “Kelab Diraja Selangor”. 





Komen:

Secara tuntas, Saya berharap kerajaan tempatan dapat mengambil iktibar untuk membaiki kesalahan mereka meremeh-remehkan kesalahan tatabahasa Melayu dalam papan iklan. Jika pihak kerajaan tempatan sentiasa menyeru pihak peniaga dan pemilik kedai membetulkan kesalahan papan iklan mereka dengan menggunakan khidmat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagaimana pula dengan mereka sendiri?

1 ulasan: