12 Mac 2011

Situasi 25: Penggunaan perkataan Karenah dan Kerenah dalam BM

Salam Sejahtera

Apakah perbezaan antara karenah dengan kerenah?

Adakah perkataan ini disalah eja?

Saya termenung sejenak memikirkan apakah perbezaan kedua-dua perkataan tersebut apabila ditanya oleh rakan sebilik yang sangat suka bertanya jika mengalami kesulitan.

Kemudian rakan sebilik saya meminta saya membaca ayat yang mengandungi kedua-dua perkataan tersebut.

Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman. 

Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.


KarenahKerenah 
  
Otak saya berlegar-legar mencari jawapan yang sesuai untuk menjawab persoalan tersebut. Situasi sebegini sering kali membelenggu fikiran saya.

Apa yang perlu saya lakukan?




Jalan penyelesaian ialah mencari perbezaan kedua-dua perkataan ini. Walaupun bunyi perkataan karenah dan kerenah kelihatan hampir sama, iaitu  hanya dibezakan dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal < a >, < e > pepet, dan < e > taling dalam suku-suku kata tertentu tetapi sebenarnya kedua-kedua perkataan ini mempunyai maksud yang tersendiri.

Karenah
Kerenah
     ·         dibarisi oleh vokal < a > dalam suku kata pertama,
      · dan vokal < e > taling dalam binaan suku kata kedua;
·         maka bunyi kata ini ialah [ karénah ]
·         Kata kerenah dibunyikan sebagai            [ k?r?nah ]
    ·          kedua-dua huruf vokal < e > dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal < e > pepet.


Tahukah anda?

Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa empat maksud, iaitu: makna alamat,  bukti,  tanda, dan cena (céna). Keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini.
Berdasarkan contoh sebentar tadi, kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dengan mana-mana kata sinonimnya, misalnya:

Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir zaman.
Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir zaman

Kata kerenah tidak asing lagi dimaklumi maknanya kerana kata ini sering digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Terdapat beberapa maksud kata kerenah ini, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai.

Berdasarkan contoh ayat yang dinyatakan di atas, kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dalam ayat tersebut dengan kata-kata lain yang bersinonim dengannya:

Banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Banyak benar kemahuan budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.

Selain itu, kata kerenah ini juga bermaksud oleh (sebab), dan cara. Kedua-dua maksud ini dibawakan oleh dua potong ayat yang di bawah ini:
Demikian itu kerenah dia bekerja, pantas tetapi kelam kabut sahaja. (kerenah bermaksud cara)
 
Pekerja kontrak itu telah lama teraniaya kerenah tindakan majikan yang tidak bertimbang rasa. (kerenah bermaksud oleh sebab)

Jelaslah, kata karenah dan kerenah, jika kita tersilap menggunakannya dalam ayat, pastilah maksud ayat berubah, atau tidak mendukung maksud maklumat sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.

Begitulah bicara ringkas tentang kata karenah dan kerenah serta cara penggunaannya dalam bahasa Melayu. Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada rakan sebilik saya. 



2 ulasan: