12 Mac 2011

Situasi 30: “Siapa Makan Dara, Dia Terasa Pedas”???

Jam 8.00 A.M





Kelas Semantik
(PC 25)



Setiap hari rabu akan berlangsungnya sesi pembentangan tugasan individu bagi Kursus Semantik di bawah En. Abdullah Yusof. Semasa sesi pembentangan ini, pelbagai ragam dan karenah yang dapat diperhatikan. Apa yang masih kekal dalam ingatan saya ialah pada seorang rakan pembentang berbangsa Cina yang membentangkan tugasan bertajuk simpulan bahasa.

"Siapa yang makan dara, dia akan terasa pedas"

Untuk pertama kalinya, saya anggap rakan pembentang ini tersasur. Tetapi untuk kedua dan ketiga kalinya:

Siapa yang makan dara, dia akan terasa pedas.

Siapa yang makan dara, dia akan terasa pedas.

Tiba-tiba, kelas bagaikan terkena Histeria dengan gelak ketawa rakan-rakan yang lain.

Komen:

Sebenarnya rakan pembentang ini ingin menyebut simpulan bahasa yang berbunyi:

"Siapa yang makan lada, dia akan terasa pedas"





Saya faham dengan pelat bangsa lain apabila bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi jika tersalah menyebut sesuatu perkataan, ayat tersebut telah membawa makna yang berbeza daripada makna ayat asal.

Situasi 29: Kata Panggilan Keluarga Kadazan dan Dusun

Salam 


                         Ngah, tolong ambilkan Achik bakul tu.
Pak Long, apa khabar?

Dalam keluarga Melayu kita sering menggunakan kata panggilan dalam keluarga ketika berkomunikasi dengan ahli keluarga terdekat.


Kata panggilan keluarga ?


Kata yang menggantikan nama yang digunakan kepada manusia dengan penentuan gender, rujukan, dan kedudukan keluarga.

Contoh kata panggilan dalam keluarga Melayu.
Kedudukan dalam Keluarga
Kata Sapaan

Anak sulung atau pertama
Anak kedua
Anak ketiga
Anak keempat
Anak kelima
Anak keenam
Anak bongsu

Long
Ngah
Lang
Cik
Andak
The
Busu


Pada petang semalam, semasa dalam kelas Modal Insan, saya telah berbual-bual dengan seorang rakan, iaitu Nana. Nana berasal dari Sabah yang berketurunan Kadazan. Semasa seronok bersembang, saya mendapat panggilan daripada ibu:

Kringg…kringg

Ibu: Assalamulaikum. Duk mana ni?
Saya: Waalaikumussalam. Chik ada dalam kelas ni.

Begitulah sedikit cebisan ingatan perbualan dengan ibu tersayang. Kemudian, Nana bertanya:

Nana: Oo..keluarga panggil Chik ya?
Saya: Ya, Nana dalam keluarga panggil apa?

Soalan saya dijawab dengan panjang lebar oleh rakan saya itu. Menurutnya, kata panggilan keluarga dalam bahasa Kadazan dan Dusun adalah seperti berikut:

Ama, amo               : bapa
ino                         : emak
tanak                     : anak
aka kusai               : abang
aka tongondu          : kakak
sulod                     : saudara
tivanon                  : mentua
adi                        : adik
pinotokin               : menantu lelaki
pinoogom               : menantu perempuan
ipag                         : ipar (man speaking: sister’s husband, wife’s brother)
iras                       : ipar (man speaking: wife’s brother-in-law)
longuon                  : ipar (woman speaking: sister’s husband, husband’s brother)
koonduoi /              : ipar (woman speaking: husband’’s sister Onduoi husband)
uvoi                       : ipar (woman speaking: husband’s brother’s wife)
Kamaman                : bapa saudara, pakcik
Minan                    : emak saudara, makcik
Pinsan                    : pupu
Tanak do                : anak saudara, kemanakan Sulod, Kamanakon

Manakala untuk  Kata Panggilan Sanak Saudara dalam bahasa Kadazan dan Dusun adalah seperti berikut: -

Aki              : datuk
Odu             : nenek
Iodu koduvo, : cicit
Mongkupu / nanakan, : cucu
Iodu-aki       : nenek moyang
Sonsuladan : sanak saudara
Pinsan          : pupu

Kepelbagaian sistem panggilan Kadazan dan Dusun dapat dilhat melalui konteks bahasa dan ketidaksamaan masyarakatnya. Umumnya, sistem panggilan dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti berikut: -

Perbezaan umur, panggilan untuk pangkat nenek, pakcik, makcik dan cucu adalah berbeza mengikut sistem sapaan Kadazan dan Dusun.

Perbezaan jantina, panggilan untuk lelaki dan wanita, isteri dan suami, kakak dan abang adalah berbeza.

Keturunan, panggilan untuk makcik, pakcik, datuk dan nenek juga adalah berbeza.

Sehubungan itu, sistem panggilan dalam keluarga dapat:
ü                           ü    Mendokumentasikan semua jenis kata panggilan mengikut dialek goegrafi
supaya tidak hilang ditelan zaman.
ü  Membezakan antara individu dalam pelbagai aspek seperti umur, status,
pertalian kekerabatan atau persaudaraan, dan juga hubungan antara satu sama lain
Kesantunan ketika berbahasa dalam kalangan keluarga atau di luar hubungan keluarga.



Situasi 28: Bahasa Slanga

Salam Sejahtera

Hari ini aku menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pelajar iaitu, pelajar di tempat aku menjalankan  pengajaran Makro.



Cikgu ngah wat per tew? Busy ker? Macam busy jew?”


Pengunaan bahasa slanga yang meluas dalam kalangan remaja menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja digunakan dalam percakapan tetapi juga dalam penulisan. 

Fahami bahasa slanga:


Bahasa slanga merujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat ialah kata-kata yang terdiri daripada ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, seringnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Ia juga boleh diertikan sebagai pertuturan yang menyimpang daripada norma sebutan atau tatabahasa.

Bahasa slanga dalam penulisan pelajar:


Bahasa slanga dalam komik:


Beginilah keadaan bahasa kita sekarang. Kesan penggunaan bahasa yang serba mudah dan meluas ini banyak istilah baru yang muncul bagi memudah ekspresi. Contoh istilah-istilah baru yang muncul kesan daripada penggunaan bahasa slanga ialah:

Caye -percaya
Camni -macam ini
Teypon-telefon
Ari-hari
pastu -lepas itu
lak-pula
 amacam-apa macam
 fon-telefon
 cite-cerita
kuar-keluar
 nape-kenapa

Istilah-istilah ini pada peringkat awal digunakan hanya untuk memerihkan suasana sahaja, namun demikian lama kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Hal ini menyebabkan generasi-genarasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yanga digunakan pada masa kini. Jika direnungkan sejenak apakah kesan jaka panjang jika bahasa slanga masih terus digunakan oleh generasi kini, maka dapat disimpulkan bahawa generasi akan datang akan mewarisi bahasa melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru.

“Bahasa slanga seelok-eloknya dielakkan. Bahasa slanga atau bahasa metropolitan adalah bahasa yang merosakkan citra bangsa kita. Ini terlihat pada novel popular, gaya bahasa tersebut tidak dapat menyumbangkan markah dalam peperiksaan subjek bahasa Melayu, maka dalam cerpen juga tentulah ia tidak dapat diterima. Janganlah juga anda memuatkan ungkapan-ungkapan atau bentuk perkataan yang biasa dilakukan dalam sms. Saya juga ingin menasihatkan anda menghindari penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang terlalu banyak. Anda boleh menguasai bahasa bukan bahasa ibunda, tetapi itu bukan bermakna anda perlu menggunakannya tidak kena tempat.” 
Faisal Tehrani, Karya Nan Indah, hlm. 169.

Situasi 27: Apa bezanya antara perkataan rasmi dan resmi?

Rasmi dan Resmi??

Memandangkan saya sebagai kakak senior yang mengambil major BM, sejujurnya saya sebenarnya menjadi perpustakaan bergerak kepada adik-adik dan rakan-rakan yang kurang memahami maksud sesuatu perkataan. 



Misalnya,beberapa hari yang lepas  saya telah diajukan satu soalan yang agak sukar untuk dijawab dalam masa yang singkat. Namun, memandangkan saya mengambil kursus Semantik untuk semester ini, maka persoalan itu dapat saya perjelaskan dengan panjang lebar.

Kak, bagaimana kita nak bezakan antara rasmi dengn resmi?

Perkataan rasmi dan resmi ialah dua perkataan yang sering menimbulkan kesilapan pemilihan. Kedua-dua perkataan ini kerap digunakan dalam konteks yang tidak tepat lantaran kedua-duan hampir sebunyi, tetapi mempunyai maksud yang berbeza.

Perkataan rasmi digunakan dalam rangkai kata tertentu seperti surat rasmi, lagu rasmi, bendera rasmi, bahasa rasmi, tugas rasmi, pakaian rasmi, upacara rasmi dan kediaman rasmi. Rasmi dalam rangkai kata tersebut bermaksud disahkan atau ditentukan oleh yang berwibawa, iaitu kerajaan.

Resmi pula digunakan dalam konteks yang berlainan, seperti dalam peribahasa:

“Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”

“jangan ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak”

“Resmi Mak Piah tidak ubah seperti ayam betina, bertelur sebiji riuh sekampung”

Perkataan resmi dalam peribahasa yang ini membawa maksud sifat atau resam.


Kita perlu mempunyai pengetahuan tentang sesuatu perkataan agar tidak tersalah menggunakannya terutama dalam peperiksaan kerana perkara ini boleh memberi kesan kepada keputusan peperiksaan yang akan kita perolehi.



Situasi 26: Bahasa Basahan dalam Novel





Apakah maksud bahasa basahan?



Bahasa basahan adalah bahasa yang dipertuturkan dalam konteks urusan sehari-harian.
 

Di laman blog kali ini, saya ingin berkongsi mengenai bahasa basahan dalam novel.Kebiasaanya, penulis-penulis novel yang menggunakan bahasa basahan datang daripada aliran falsafah realisme. Mereka berpegang pada prinsip bahawa sastera harus merakamkan dunia realiti. Maksud realiti adalah alam real-fizikal. Apa yang berlaku dalam alam sebenar harus digambarkan demikian dalam sastera. Dari sudut itu, sastera berfungsi sebagai arkib linguistik temporal. Prinsip inilah yang mendorong pengarang-pengarang itu menggunakan bahasa basahan dalam novel-novel mereka.
Di bawah ini adalah contoh dialog bahasa Melayu basahan era tahun 2006, dipetik dari novel Lafazkan Cintamu oleh Aida Adriani:

"Sorry Erina. You terkejut ke? Kenapa you tidur bertelekung macam ni? You buat I terkejut tadi. Macam hantu. Eh, dah lama ke you balik?"
"I tertidur lepas solat isyak tadi. Pukul 10.00 tadi I sampai. I balik dulu sebab I call you tadi tapi tak dapat-dapat."
"Tak mengapa. I yang patut mintak maaf sebab tak bagi ahu you I tak boleh jemput. Telefon I tertinggal di rumah."
"You ke mana sebenarnya?"
"I pergi jumpa member-member lama. Dia orang tahu I tak ada kerja, so dia orang sibuk nak tolong. I dah lama tak contact dia orang tu. Sejak I kerja kat KL, kita orang tak pernah jumpa. Sekarang ni bila dah jumpa sorang, ramailah yang contact."
"Oh...."
"Erina...."
"Ada apa?"
"Member-member I nak ajak join dia orang bisnes. I rasa ini peluang terbaik untuk I mulakan perniagaan. Duit simpanan yang I ada tu boleh dibuat modal. You setuju tak?"
"Kalau you rasa you boleh percayakan kawan-kawan you tu, I rasa tak ada masalah. Cuma you kena hati-hati, kadang-kadang kawan sendiri pun tak boleh diharap. Jangan you terkena tipu dahlah.
"Erina... Erina... I dah lama kenal dia orang tu. Masa kat US dulu, hubungan kami dah lebih dari adik beradik. You jangan risaulah. Ini Razwan! Razwan tak pernah tertipu! Nanti, you jadi isteri businessman, kalau ada rezeki, isteri jutawan!"
  Komen:
Dalam surah Yusuf, segala sesuatu yang tertulis dalam surah itu adalah benar belaka (realiti), namun dalam surah itu semua watak bercakap menggunakan Bahasa Arab Tinggi. Justeru penggunaan bahasa basahan adalah tidak selaras dengan teori dan teknik surah Yusuf.

Situasi 25: Penggunaan perkataan Karenah dan Kerenah dalam BM

Salam Sejahtera

Apakah perbezaan antara karenah dengan kerenah?

Adakah perkataan ini disalah eja?

Saya termenung sejenak memikirkan apakah perbezaan kedua-dua perkataan tersebut apabila ditanya oleh rakan sebilik yang sangat suka bertanya jika mengalami kesulitan.

Kemudian rakan sebilik saya meminta saya membaca ayat yang mengandungi kedua-dua perkataan tersebut.

Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman. 

Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.


KarenahKerenah 
  
Otak saya berlegar-legar mencari jawapan yang sesuai untuk menjawab persoalan tersebut. Situasi sebegini sering kali membelenggu fikiran saya.

Apa yang perlu saya lakukan?




Jalan penyelesaian ialah mencari perbezaan kedua-dua perkataan ini. Walaupun bunyi perkataan karenah dan kerenah kelihatan hampir sama, iaitu  hanya dibezakan dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal < a >, < e > pepet, dan < e > taling dalam suku-suku kata tertentu tetapi sebenarnya kedua-kedua perkataan ini mempunyai maksud yang tersendiri.

Karenah
Kerenah
     ·         dibarisi oleh vokal < a > dalam suku kata pertama,
      · dan vokal < e > taling dalam binaan suku kata kedua;
·         maka bunyi kata ini ialah [ karénah ]
·         Kata kerenah dibunyikan sebagai            [ k?r?nah ]
    ·          kedua-dua huruf vokal < e > dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal < e > pepet.


Tahukah anda?

Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa empat maksud, iaitu: makna alamat,  bukti,  tanda, dan cena (céna). Keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini.
Berdasarkan contoh sebentar tadi, kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dengan mana-mana kata sinonimnya, misalnya:

Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir zaman.
Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir zaman

Kata kerenah tidak asing lagi dimaklumi maknanya kerana kata ini sering digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Terdapat beberapa maksud kata kerenah ini, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai.

Berdasarkan contoh ayat yang dinyatakan di atas, kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dalam ayat tersebut dengan kata-kata lain yang bersinonim dengannya:

Banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Banyak benar kemahuan budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.

Selain itu, kata kerenah ini juga bermaksud oleh (sebab), dan cara. Kedua-dua maksud ini dibawakan oleh dua potong ayat yang di bawah ini:
Demikian itu kerenah dia bekerja, pantas tetapi kelam kabut sahaja. (kerenah bermaksud cara)
 
Pekerja kontrak itu telah lama teraniaya kerenah tindakan majikan yang tidak bertimbang rasa. (kerenah bermaksud oleh sebab)

Jelaslah, kata karenah dan kerenah, jika kita tersilap menggunakannya dalam ayat, pastilah maksud ayat berubah, atau tidak mendukung maksud maklumat sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.

Begitulah bicara ringkas tentang kata karenah dan kerenah serta cara penggunaannya dalam bahasa Melayu. Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada rakan sebilik saya.