08 Mac 2011

Situasi 12: Bahasa Halus dan Indah

Semasa musim cuti sekolah pasti kita tidak sunyi dengan kad jemputan perkahwinan daripada saudara mara mahupun sahabat handai. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah adat resam masyarakat Melayu yang perlu dibangga, iaitu ketika proses merisik, peminangan dan perkahwinan. Masyarakat terdahulu akan berbalas pantun sebelum kata sepakat ditemui. Kini, amalan itu kian terhakis. Namun, saya telah menyaksikan proses berbalas pantun antara pihak lelaki dengan pihak perempuan semasa saya menghadiri majlis pertunangan sahabat baik saya.

Waris perempuan menjual:
Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang dipohon nangka
Bukan sembah sebarang bersembah
Sembah dengan adat pusaka

Wakil lelaki membeli:
Bukan kacang sebarang kacang
Kacang melilit si kayu jati
Bukan datang sebarang datang
Datang membawa hajat di hati

Kemudian wakil lelaki menjual:
Kambing saya di balik pintu
Makannya ke darat rumah
Sirih saya sirih bertentu
Makannya tidak berkunyah

Waris perempuan membalas:
Saya tidak tahu rebana
Dapat setindih tekan-menekan
Saya tak tahu senda makna
Sirih diberi saya makan

Wakil lelaki menerangkan maksud hajatnya dengan mendalam:
Rumah kecil paranya lima
Tempat menyalai ikan kerinci
Ayohai encik saya bertanya
Berapa harga intan disana

Waris perempuan menjawab:
Tali kail panjangnya lima
Akan pengail ikan tenggiri
Tujuh tahil sekati lima
Itulah harga intan di sini

Wakil lelaki memberi kesungguhan untuk meminang dan memberi jaminan:
Kalau tidak rengas di tanjung
Pandan di hulu direbahkan
Kalau tidak emas dikendong
Badan dahulu diserahkan

Waris prempuan menerima:
Menyala sudah cahaya matahari
Lalu sampai ke birai telaga
Muafakat sudah seiya sehati
Tanda hidup kita berkeluarga


Akhirnya termenterainya sebuah ikatan suci antara dua jiwa . Adat resam kita sangat unik dan indah. Teramat rugi sekiranyanya adat resam daripada nenek moyang kita ini hilang ditelan zaman. Saya masih berbangga kerana walaupun adat ini makin lama makin hilang, namun ada juga di golongan orang-orang tua yang masih kuat mempertahankannya. Semoga kita generasi muda dapat mengembalikan adat ini kembali agar tidak hilang jati diri kita sebagai “Anak Melayu”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan