20 Januari 2011

Situasi 2: Oh Bahasa...


Situasi Kedua yang aku ingin kongsikan di laman blog ini adalah masalah percampuran penggunaan bahasa dalam masyarakat kita hari ini, atau lebih senang kita panggil bahasa rojak. Secara ringkasnya, ceritanya berbunyi begini: semasa aku dan kawan-kawan aku (Nida dan Hajar) menaiki bas lebih kurang pukul jam 8.00 p.m menuju ke kampus untuk menghadiri perjumpaan Persatuan Bahasa Melayu, aku terpaksa duduk di kerusi paling belakang kerana ketika itu bas sudah penuh dengan pelajar yang lain. Sebenarnya aku bukan nak cerita hal naik bas tetapi hal seorang penumpang di sebelah yang sebangsa dengan aku. Penumpang ini telah menimbulkan perasaan kurang enak untuk aku berada di sebelahnya, macam mana nak rasa enak daripada aku susah-susah menyusur setiap laluan tempat duduk sehinggalah aku duduk di sebelahnya, tidak jemu dia memandang muka aku yang tak cantik ini. Aku berasa rimas lalu bertanya:

Aku: ada orang ke??? (aku fikir mungkin dia tanda kerusi itu untuk rakannya)

Penumpang: x ada..

Aku: (Aku diam sejenak)..kalau x ada kenapa tengok macam tu..

Penumpang: muka u macam somebody (bau budu wel..)

Aku: mace sapo?? (aku baru teringat dia orang kelantan, kawan kepada adik rumah aku sem lepas)

Penumpang: macam kawan I..

Titipan Wadah:

Situasi begini boleh kita temui di mana-mana sahaja, malahan di Dewan Parlimen sendiri bahasa rojak ini sering kali digunakan. Bertutur menggunakkan bahasa Inggeris tidak dilarang, malahan digalakan kerana bahasa tersebut merupakan bahasa kedua di negara kita. Masalah yang meruncing sekarang ini adalah mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Setiap bahasa mempunyai keistimewaan masing-masing. Sehubungan dengan itu, tidak patut rasanya kita mencemarkan bahasa kerana bahasa sendi tamadun bangsa. Sekiranya ingin bertutur dalam bahasa Inggeris bertuturlah dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan sebaliknya. Semoga penumpang tadi yang mungkin bakal cikgu TESL yang ingin bercakap bahasa Inggeris, kami alu-alukan kerana orang di sekeliling anda mampu untuk memahaminya tetapi jangan sesekali menggunakan bahasa rojak yang tidak enak didengar oleh telinga ini. Berbanggalah dengan bahasa kita. Semoga BAHASA MELAYU tidak ditelan oleh sikap gelojoh bangsa Melayu itu sendiri. BAHASA JIWA BANGSA.


Situasi 1: Marahnya Dia!!


Setiap orang pasti akan mengalami perasaan ini. Saat perasaan itu berada di kemuncak pasti kata-kata kesat akan terlontar tanpa niat. Cerita yang aku ingin kongsikan ini bukan untuk membuka aib sesiapa tetapi sebagai tuntutan untuk menyiapkan tugasan. Siapa yang terkena minta diampunkan. Kisahnya si A tersalah cakap dengan  si B, sehingga menyebabkan si B benggang dan menyebut perkataan yang tidak enak didengar. Situasi ini dipertontonkan di depan dua biji mata aku sendiri dan aku mendengarnya dengan jelas sekali perkataan itu keluar daripada bibir manis si B ketika si B meluahkan perkara itu kepada kawan baiknya.

Si B: geramnya aku…BABIIII!!!!!...bla…bla (panjang lagi bebelannya)

Rakannya hanya tersenyum tidak berkata apa-apa.

Titipan Wadah:

Saya rasa situasi ini tidak patut berlaku terutama dalam kalangan kita yang bakal memimpin anak bangsa. Marah itu fitrah kehidupan tetapi sebagai seorang terpelajar rasanya tidak patut perkataan kesat tersebut keluar daripada mulut seorang mahasiswa. Bagi orang Islam, perkataan BABI itu cukup hina dan keji untuk dipertuturkan, mungkin bagi si B perkataan tersebut sudah sebati dengan bibirnya kerana senang saja perkataan tersebut diluahkan sebagai amarah terhadap keterlanjuran si A. Bagi saya masih banyak lagi kata yang sedap untuk didengar  oleh lubang telinga ini daripada perkataan tersebut. Semoga si penutur itu menyedari kelalaiannya ketika bertutur dan berfikir terlebih dahulu sebelum meluahkannya. Bak kata perpatah, “terlajak perahu boleh diundur, terlanjak kata membawa padah”. WASALAM.

17 Januari 2011

Manusia berbahasa manusia bertamadun


Salam Titipan Maya Pertama..

Salam Ukhuwah...

Alhamdulillah..bersyukur kehadrat pencipta alam, akhirnya dengan izinnya muncul jua blog aku di alam maya ini. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat pensyarah kursus Sosiolinguistik yang comel lotel, Dr. Siti Saniah bt. Abu Bakar yang banyak mendorong kami untuk menghasilkan sebuah blog walaupun pada peringkat awalnya mendapat tentangan. Tidak lupa juga buat rakan sekelas iaitu Cikgu Fawis yang begitu banyak memberi input berguna kepada aku dan rakan-rakan dalam proses membina blog ini. Buat SAHABAT SEJATI merangkap housemate aku yang ayu jelita, Cikgu Zahuri binti Seman yang banyak membantu  dan tidak pernah jemu melayan karenah mengada-gada aku ini yang sememangnya mengada-gada..jasamu dikenang. Terima Kasih.