13 Mac 2011

Situasi 31: “Tuan/puan dijemput hadir dan kehadiran adalah diwajibkan.”

Salam Sejahtera

Pada hujung minggu yang lalu, aku berkesempatan pulang ke kampung halaman.
Aktiviti rutinku saban pagi ialah mengemas rumah. 


Semasa aku sedang sibuk mengemas,aku terpandang beberapa satu surat pekeliling di atas meja abangku.Aku sedia maklum bahawa amalan menerima surat pekeliling daripada majikan oleh pegawai-pegawai di bawahnya memang sesuatu yang lumrah dalam dunia pengurusan. Dalam surat tersebut abangku dikehendaki menghadiri suatu majlis rasmi.

Apa yang membuatkan aku terfikir sejenak ialah bahasa yang terkandung dalam surat tersebut. Salah satu ayat dalam surat itu berbunyi:

Tuan/puan dijemput hadir dan kehadiran adalah diwajibkan.”

Memandangkan aku mempunyai asas dalam sintaksis, aku  lihat ayat ini menetapi aturan nahu dan tidak janggal bunyinya. Sebenarnya ayat  ini merupakan ayat majmuk gabungan yang menggabungkan dua ayat penyata, iaitu:

Tuan/puan dijemput hadir’ dan
‘Kehadiran adalah diwajibkan’.

Ayat gabungan ini  merupakan ayat yang terdiri daripada dua ayat penyata untuk dijadikan ayat majmuk gabungan  dengan menggunakan kata hubung dan.

Menurut Tatabahasa Dewan (1993):



Ayat majmuk gabungan ialah ayat-ayat yang disambungkan itu setara sifatnya, iaitu ayat-ayat itu sama taraf dan boleh berdiri sendiri. Hubungan antara satu ayat dengan yang lain wujud oleh sebab ayat-ayat tersebut disusun secara berturut-turut.

Sudah nyata timbul keraguan tentang makna ayat ini kerana terdapat pertentangan makna dalam ayat ini. Jika diamati ayat  tersebut dengan teliti, jelas wujud keraguan tentang makna yang didukung dalam ayat ini.

Hal ini kerana terdapat pertentangan makna antara ayat  ‘Tuan/puan dijemput hadir’ dan ayat  ‘Kehadiran adalah diwajibkan’. Yang menjadi pertentangan makna dalam ayat ialah penggunaan perkataan jemput dan wajib.

Berdasarkan komponen makna bagi perkataan jemput dan wajib, jelaslah bahawa kedua-duanya tidaklah bersinonim. Kata jemput bermaksud ‘pelawa, alu-alu,’ manakala wajib pula diertikan sebagai mesti, perlu  dan tidak boleh tidak. Dengan demikian jelas bahawa dalam ayat-ayat ini terdapat percanggahan makna antara kata jemput dan wajib.

Komen:
Penggunaan perkataan jemput hadir dan wajib hadir menimbulkan ketaksaan makna dalam kalangan pembaca. Timbul beberapa tanda tanya:

Adakah semua staf diwajibkan hadir majlis itu?
Adakah semua staf hanya dijemput hadir?

Kalau semua staf diwajibkan hadir, memadailah kalau ayat itu berbunyi ‘Tuan/puan diwajibkan hadir’ sahaja dan kalau tidak diwajibkan hadir, sepatutnya ayat itu berbunyi, “Tuan-tuan dijemput hadir’ sahaja.

Dengan cara yang sedemikian, pembaca surat pekeliling akan mengetahui maksud surat tersebut, lalu akan mengambil keputusan yang tepat, sama ada mahu hadir atau tidak hadir dalam majlis tersebut.

Oleh yang demikian, aspek makna tidak boleh dikesampingkan ketika membina atau mengujarkan ayat. Berhati-hati ketika membina ayat supaya tidak terperangkap dalam hal membina ayat yang taksa!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan