27 Januari 2011

Situasi 7: Singkatan cemar bahasa?

Salam mesra kepada rakan-rakan Sosiolinguistik. Hari ini kita terus fokus kepada isi penting, iaitu bahasa SMS. Kerana di mana ada semut, di situ ada gula. Di mana ada telefon bimbit, di situ ada bahasa SMS. SMS adalah singkatan Short Message Service yang bermaksud Servis Pesanan Ringkas. Dah nama pun ringkaskan, nak taip panjang-panjang buat apa? Lagipun muat-muat 160 ruang saja. Kalau melebihi 160 ruang (bukan 160 patah perkataan ya!) akan dicaj kita menghantar SMS yang baru. Antara contoh bahasa SMS yang sering digunakan ialah:

Askum- assalamualaikum
Xleh- tidak boleh
Mende- apa
Ntah- entah 'mn ko nk pegi?- mana kau hendak pergi?
Chat- sihat



Hal sama turut berlaku waktu bersembang (chatting) samada melalui ruang sembang seperti Yahoo Massager, Facebook, Twitter dsb. ataupun secara langsung menerusi kaca televisyen seperti saluran @15 di Astro yang sudah pasti menjadi tatapan sesiapa saja. Mata menjadi saksi!. Sebenarnya bahasa singkatan menjadi amalan harian memandangkan ia sentiasa didengar, dilihat dan dipertontonkan terutama dalam teknologi semasa. Amalan seharian yang diguna pakai ini menjadi ikutan remaja diperturunkan daripada ibu bapa sehingga mereka mengadaptasikan sebagai bahasa ringkas dalam perbualan siber.


Titipan Wadah:
Bagi saya penggunaan bahasa ringkas dan rojak secara berleluasa tanpa sekatan mengakibatkan remaja malas untuk mempelajari bahasa sebenar secara menyeluruh. Sebenarnya, bahasa ringkas dan rojak digunakan lebih meluas berbanding bahasa sebenar kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran kini sehinggakan remaja kurang berminat untuk berkomunikasi melalui bahasa terutama bahasa Melayu yang memiliki tatabahasa dan frasa lebih tersusun. Sehubungan dengan itu, jika keadaan ini  berterusan, maka masyarakat hari ini  akan membenarkan bahasa terutama bahasa Melayu rosak memandangkan keindahan ayat terkandung di dalamnya bakal terhakis. Malah, kedudukan bahasa itu sendiri akan tergugat sehingga mengakibatkan keindahannya terhakis dek campur aduk istilah sehingga mengganggu strukturnya sendiri yang secara tidak langsung memupuskan ketamadunan bangsa. Inilah yang dikatakan virus lebih teruk daripada serangan virus yang menular ke sistem komputer apabila 'virus jiwa' yang dibawa teknologi itu sendiri tidak disedari manusia secara terang-terangan walaupun kita bukanlah mahu menidakkan perkembangannya. Semua pihak perlu memberi kerjasama dalam mempertahankan keindahan bahasa sendiri kerana ia adalah nadi bangsa seterusnya membina masyarakat berakhlak mulia di zaman letusan teknologi melanda dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan