23 Januari 2011

Situasi 4: Cakap siang pandang-pandang, Cakap malam dengar-dengar. (EDISI MENGUMPAT).



VS 


Bahasa digunakan untuk meluahkan apa yang ada dibenak fikiran kita. Setiap apa yang ingin diluahkan pasti menggunakan bahasa, tidak kira sama ada bahasa yang digunakan itu untuk tujuan baik atau tidak . Pada edisi ini, aku ingin menceritakan sedikit pengalaman yang aku kira sedikit lucu untuk dikenang kembali. Tragedi ini masih lagi boleh dianggap panas seperti pisang goreng. Sebelum aku membuka tirai ceritanya aku ingin bertanya pada kalian, apa pandangan anda tentang lelaki lembut?... Pada aku sendiri, aku bukannya tidak suka atau prejudis terhadap golongan ini tetapi aku selalu berfikir, apa yang mereka mahukan??, tidak sempurnakah ciptaan Allah terhadap mereka??. Itu hanya pandangan diri aku..pada pandangan kalian aku tidak tahu. Baiklah, ceritanya begini: ketika aku dan sahabat baik aku ( Aja Zahuri) menaiki bas untuk pulang ke kolej (KHAR), aku lihat kerusi disebelah kanan tempat aku duduk terdapat dua orang pelajar lelaki lembut sedang rancak bercerita. Aku dan Aja tersenyum sendirian melihat gelagat mereka dan aku perhatian mereka mengunakan make up di wajah mereka. Apa jenis make up yang dipakai oleh mereka bukan kisahnya. Kisahnya bertitik tolak apabila dua orang pelajar perempuan yang boleh dianggap mulut laser  tergopoh-gapah menaiki bas yang sudah ingin bergerak. Mereka terpaksa berdiri disebelah  kerusi tempat duduk lelaki lembut itu tadi kerana keadaan bas yang sudah sesak dan penuh ketika itu. Aku sempat melihat dua orang pelajar perempuan itu asyik memandang lelaki-lelaki lembut itu sambil bibir mereka mengukir senyuman mengejek. Sebentar kemudian aku terdengar dua orang pelajar perempuan itu bercakap sambil berbisik-bisik tetapi telinga aku masih dapat menangkap dengan jelas butir bicara mereka kerana agak kuat suara mereka ketika berbisik ( berbisik ke orang panggil macam tu??) .

Pelajar Perempuan 1: ko tengok tu..( sambil memuncungkan mulutnya pada skrin telefon lelaki lembut itu)

Pelajar Perempuan 2: Senggal betol la sotong dua ekor ni..

(ketika ini, lelaki lembut itu  menunjukkan sesuatu di skrin telefon kepada kawan disebelahnya..mungkin gambar, aku pun tak pasti)

Perempuan 1: pakai bedak dua inci..kaloh orang popuan.

Perempuan 2: bangga sangat jadi sotong tu..

Kedua-dua perempuan tu ketawa serentak..aku hanya memerhati gelagat mereka..
Sebentar kemudian aku lihat lelaki lembut itu memandang dua orang pelajar perempuan itu dan menghadiahkan sebuah jelingan maut. Aku ketawa sendirian melihat situasi itu. Aku fikir mungkin si lelaki lembut itu perasan pelajar-pelajar perempuan itu sedang mengumpat dia. Ketika bas berhenti berhampiran Kolej Ungku Omar (KUO) , salah seorang lelaki lembut itu melulu bangun dan tiba-tiba dia memukul beg perempuan tadi dengan kuat dan serentak itu juga pelajar perempuan itu menjerit sehingga mengejutkan pemandu bas. Semua isi bas tertanya-tanya apa yang berlaku. Itulah kisahnya.

Titipan Wadah:

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”. Saya rasa pepatah ini cukup sesuai untuk situasi  di atas. Tidak semua perkara yang kita tidak suka perlu diluahkan ketika itu juga. Istilah sotong yang digunakan oleh pelajar perempuan itu adalah untuk memberi gelaran kepada lelaki lembut dan saya rasa pelbagai istilah lagi digunakan untuk mereka antaranya, mak nyah, bapok, si lembut dan macam-macam lagi. Mungkin pelajar-pelajar perempuan itu tidak menyukai perwatakkan lelaki lembut itu tetapi rasanya tidak elok untuk meluahkan ketidakpuasan hati di depan mereka. Mereka juga manusia seperti kita yang mempunyai hati dan perasaan dan kita hanya perlu doakan agar lelaki-lelaki lembut di luar sana diberikan taufik dan hidayah daripada Allah S.W.T supaya berubah kepada kejadian asal. Itu saja yang mampu kita lakukan untuk kesejahteraan mereka. Jikalau kita mengata mereka dua tiga guni sekalipun mereka tetap begitu malahan dosa kita pula semakin menggunung. Sehubungan dengan itu, gunalah bahasa sebaik yang mungkin kerana bahasa itu indah terutama untuk mengungkapkan perkara-perkara yang indah. Wasalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan