27 Januari 2011

Situasi 8: Panggilan Mesra Sebagai Panggilan Hormat.

Manusia dipandang budi bahasanya.
Bermesra biarlah dikenali.
Berkasih biarlah pada yang sayang.
Bertuan pada yang berpangkat.

Salam Ukhuwah untuk semua. Pada kali ini, aku ingin coretkan mengenai panggilan mesra sebagai panggilan hormat. Pada kebiasaanya, kita sering kali membahasakan orang yang dilawan bercakap dengan kita dengan panggilan “Pak cik, kakak, abang, mak cik” dan sebagainya sebagai panggilan mesra. Walau bagaimanapun, bagaimana panggilan dalam konteks pejabat dan perniagaan??. Aku tertarik dengan isu ini ketika membaca sebuah artikel mengenai panggilan mesra. Dalam konteks pejabat dan perniagaan yang sebenarnya memerlukan bahasa rasmi dan bahasa perniagaan. Dalam bahasa rasmi dan bahasa perniagaan, ganti nama dan bentuk panggilan hormat adalah menjadi asas perhubungan. Apabila bentuk panggilan yang salah digunakan, orang yang dilawan bercakap akan merasa tidak dihormati. Di bawah ini aku titipkan sebuah dialog yang aku perolehi daripada artikel http://semanggol.comtersebut.

Tiga orang bakal pelanggan, dua orang lelaki dan seorang wanita masuk ke sebuah restoran di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Jelas mereka itu ahli profesional. Pelayan datang meminta pesanan.

Pelayan: Encik nak makan apa?

Lelaki 1: Nasi beriayani dengan ayam.

Pelayan: Minum?
Lelaki 1:Jus oren.
Pelayan: Encik nak makan apa? (kepada lelaki 2)
Lelaki 2: Nasi beriayani dengan daging?
Pelayan: Minum?
Lelaki 2: Air suam.



Setelah pelayan beredar kepada lelaki kedua dan mendapat pesanan yang sama. Dia terus pergi kepada wanita pula.




Pelayan:Mak Cik nak makan apa?

Wanita: Siapa Mak Cik?

Pelayan: Oh! Kakak!

Wanita: Saya bukan Kakak kamu ... 
Pelayan:Saya sudah panggil Mak Cik apa? Habis nak panggil apa?
Wanita: Saya bukan Mak Cik Encik, saya bukan Kakak Encik. Hormatilah pelanggan Encik ...
Pelayan: Bila saya tak hormat! Saya dah panggil Mak Cik! Saya dah panggil Kakak. Nak panggil apa lagi! Kita pun ada budi bahasa ...


Pelanggan meninggalkan restoran.

Titipan Wadah:
Memesrai orang adalah tidak sama dengan menghormati orang. Kita hanya memesrai orang yang dikenali rapat, dalam kalangan keluarga atau jiran, atau kenalan sekampung. Pelayan restoran menggunakan bentuk panggilan keluarga di dalam konteks rasmi, iaitu transaksi perniagaan. Khidmat dalam restoran, sama ada besar atau kecil adalah transaksi perniagaan. Pelanggan mesti dihormati. Bentuk panggilan Mak Cik dan Kakak menyatakan mesra dalam hubungan kekeluargaan. Di restoran suasananya adalah konteks perniagaan. Hubungan pelayan dengan tetamu adalah hubungan perniagaan, pelanggan mesti dihormati, tidak dimesrai. Apabila pelayan ”melawan” pelanggan, jelaslah bahawa dia adalah orang yang tidak berbudi bahasa. Orang berbudi bahasa akan meminta maaf dan memanggil Puan. Apabila dia menggunakan bentuk panggilan Tuan kepada lelaki, tidak mungkin dia tidak tahu bentuk panggilan Puan. Pelayan menyangka panggilan Kakak dan Mak Cik itu hormat, ataupun dia mungkin menganggap wanita tidak perlu dihormati. Pelanggan mahu dihormati, bukan dimesrai atau dikeluargai oleh orang yang tidak dikenali. Pelanggan perlu dihormati dalam konteks perniagaan, sama ada perniagaan kecil atau besar. Panggilan Pak Cik, dan Mak Cik, bukanlah panggilan hormat. Menggunakan panggilan mesra dalam konteks ini sebenarnya adalah tidak sopan. Malah memanggil wanita muda sebagai Mak Cik dalam konteks bandar ’biadab.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan