20 Januari 2011

Situasi 2: Oh Bahasa...


Situasi Kedua yang aku ingin kongsikan di laman blog ini adalah masalah percampuran penggunaan bahasa dalam masyarakat kita hari ini, atau lebih senang kita panggil bahasa rojak. Secara ringkasnya, ceritanya berbunyi begini: semasa aku dan kawan-kawan aku (Nida dan Hajar) menaiki bas lebih kurang pukul jam 8.00 p.m menuju ke kampus untuk menghadiri perjumpaan Persatuan Bahasa Melayu, aku terpaksa duduk di kerusi paling belakang kerana ketika itu bas sudah penuh dengan pelajar yang lain. Sebenarnya aku bukan nak cerita hal naik bas tetapi hal seorang penumpang di sebelah yang sebangsa dengan aku. Penumpang ini telah menimbulkan perasaan kurang enak untuk aku berada di sebelahnya, macam mana nak rasa enak daripada aku susah-susah menyusur setiap laluan tempat duduk sehinggalah aku duduk di sebelahnya, tidak jemu dia memandang muka aku yang tak cantik ini. Aku berasa rimas lalu bertanya:

Aku: ada orang ke??? (aku fikir mungkin dia tanda kerusi itu untuk rakannya)

Penumpang: x ada..

Aku: (Aku diam sejenak)..kalau x ada kenapa tengok macam tu..

Penumpang: muka u macam somebody (bau budu wel..)

Aku: mace sapo?? (aku baru teringat dia orang kelantan, kawan kepada adik rumah aku sem lepas)

Penumpang: macam kawan I..

Titipan Wadah:

Situasi begini boleh kita temui di mana-mana sahaja, malahan di Dewan Parlimen sendiri bahasa rojak ini sering kali digunakan. Bertutur menggunakkan bahasa Inggeris tidak dilarang, malahan digalakan kerana bahasa tersebut merupakan bahasa kedua di negara kita. Masalah yang meruncing sekarang ini adalah mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Setiap bahasa mempunyai keistimewaan masing-masing. Sehubungan dengan itu, tidak patut rasanya kita mencemarkan bahasa kerana bahasa sendi tamadun bangsa. Sekiranya ingin bertutur dalam bahasa Inggeris bertuturlah dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan sebaliknya. Semoga penumpang tadi yang mungkin bakal cikgu TESL yang ingin bercakap bahasa Inggeris, kami alu-alukan kerana orang di sekeliling anda mampu untuk memahaminya tetapi jangan sesekali menggunakan bahasa rojak yang tidak enak didengar oleh telinga ini. Berbanggalah dengan bahasa kita. Semoga BAHASA MELAYU tidak ditelan oleh sikap gelojoh bangsa Melayu itu sendiri. BAHASA JIWA BANGSA.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan