08 Mac 2011

Situasi 16: Kesalahan ejaan pada papan tanda.



Salam Ukhwah.

Beberapa minggu yang lalu aku telah berkunjung ke Kuala Lumpur dengan dua orang sahabat baikku. Niat utama ialah untuk menghilangkan tekanan dengan lambakan tugasan yang begitu membebankan fikiran. Ketika aku berlegar-legar di kawasan Dataran Merdeka Kuala Lumpur, aku terpandang  pada sebuah papan tanda yang didirikan berhampiran dengan Dataran Merdeka, salah satu daripada tujuannya adalah untuk menunjukkan arah atau letaknya “Kelab Di Raja Selangor”, iaitu di tepi Dataran Merdeka.  Dalam papan tanda tersebut, ejaan kata “Di Raja” yang digunakan dalam frasa “Kelab Di Raja Selangor” sebenarnya tidak tepat. Kata “Di Raja” sepatutnya dieja “Diraja”, kerana “Di” pada kata tersebut bukanlah awalan ataupun kata sendi nama, tetapi merupakan sebahagian daripada kata dasar. Kata “diraja” sebenarnya merupakan kependekan daripada kata “adiraja”, dan dalam bidang linguistik, proses pembentukan kata tersebut dikenali dengan istilah “aferesis”. Aferesis iaitu pengguguran atau penghilangan satu huruf di awal kata, seperti hujung menjadi ujung dan hulu menjadi ulu. Jadi, ejaan frasa “Kelab Di Raja Selangor” sepatutnya diubah menjadi “Kelab Diraja Selangor”. 





Komen:

Secara tuntas, Saya berharap kerajaan tempatan dapat mengambil iktibar untuk membaiki kesalahan mereka meremeh-remehkan kesalahan tatabahasa Melayu dalam papan iklan. Jika pihak kerajaan tempatan sentiasa menyeru pihak peniaga dan pemilik kedai membetulkan kesalahan papan iklan mereka dengan menggunakan khidmat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagaimana pula dengan mereka sendiri?

Situasi 15: “Kau” atau “awak” lebih baik??




Salam Sejahtera. 


Ini merupakan situasi terakhir yang aku titipkan untuk minggu ini. Apa pandangan anda tentang sesuatu kata ganti nama diri ?? Apakah kata ganti nama diri yang anda rasa lebih mesra, saya, awak, kamu, aku, kau, cikgu, Cik, Encik, Pak Cik atau apa-apa saja??. Kata ganti nama diri yang kita gunakan untuk mengantikan nama seseorang sebenarnya mempengaruhi tanggapan orang terhadap diri kita. Orang yang kita tidak kenali tentunya kita memanggilnya dengan panggilan awak/ encik/ saudari dan sebagainya iaitu sesuai dengan situasi dan status seseorang. Lain pula ceritannya dengan seorang gadis ini yang tidak aku kenali. Kisahnya apabila aku bersama-samanya menaiki lif untuk ke rumah masing-masing. Ketika itu hanya aku dan dia saja yang menaiki lif tersebut. Dia (Gadis mesra) ini kelihatan mesra kerana tidak lokek dengan tersenyum dan seorang peramah. Apa yang kurang menyenangkan ialah bahasa yang digunakan apabila dia dengan baik hati ingin menekan punat lif untuk aku.




Gadis mesra : Banyak beli barang?

Aku: Adalah sikit, barang dapur dah habis stok?

Gadis mesra: Biasa la kan hujung-hujung bulan ni.

Aku: tu la.

Gadis mesra: Eh..Ko nak ke tingkat berapa ni?

Aku: (Terdiam seketika). Empat. Terima Kasih.




Aku sedikit terkejut dengan panggilan kata ganti nama yang gadis tersebut gunakan. Terlintas dibenak aku..kasarnya dia bahasa dia. Mana mungkin kita menggunakan kata  ganti nama kedua, iaitu “kau” pada orang yang baru dikenali.

Saya berpendapat panggilan untuk kata ganti nama diri kedua “kau” tidak sesuai digunakan terutama kepada orang yang baru dikenali. Kebiasaannya, kita menggunakan kata ganti nama “awak”, “saudari”, “anda” sekiranya berada pada situasi sebentar tadi. Sehubungan itu, bersama-samalah kita mempelajari daripada kesilapan.

Situasi 14: “Senggugut menjadi Sesungut”.


Hari ini aku ingin titipkan satu cerita lucu yang begitu mencuit hati aku apabila aku mengenangkannya kembali. Pada  hari Isnin jam 8.00 pagi, bermulanya kuliah pertamaku pada minggu itu, iaitu kursus Pembangunan Modal Insan. Sebelum pensyarah masuk ke kelas, aku memulakan aktiviti “kelab bual” dengan beberapa rakan yang lain. Kami mengimbau kembali kenangan semasa mengambil kursus Morfologi dengan Tuan Haji Mohd Khair. Aku memulakan cerita.

Aku: Semalam, rakan sebilik aku cerita.Tuan Haji halau kawan dia keluar kelas

Aja: Bakpe kena halau?

Aku: Dia bising kat belakang.

Aja: Ooo..Tuan Haji memang tegas, kau ingat tak masa kita sem. tiga ada juga budak kelas kita kena halau.

Aku: Ingat. Aku kesian kat S***** menangis kena marah sebab tak pakai baju kurung.

Aja: S***** kenapa awak tak pakai baju kurung masa tu?

S*****: Saya sesungut hari tu,

Aku: Sesungut????? (Aku memandang Aja..tiba-tiba ketawa yang aku tahan terburai jua)

Aja: S*****, bukan sesungut la, senggugut!.



@




Kami akhirnya sama-sama ketawa.

Komen:
Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kebiasaannya, bangsa lain selain bangsa Melayu pasti mempunyai maslaah pelat ketika bertutur dalam bahasa Melayu. Ada sesetengah huruf atau suku kata yang sukar untuk mereka tuturkan. Namun, mereka tidak perlu malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu kerana belajar daripada kesilapan adalah satu teknik belajar yang berkesan. 

Situasi 13: “Bahasa dengan orang tua”.




Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini sering kali digunakan untuk memberi gambaran tentang cara-cara mendidik anak. Masyarakat terdahulu begitu teliti dengan mengaitkan unsur alam untuk memberi nasihat kepada masyarakat. Kali ini aku ingin kupas sedikit mengenai bahasa yang digunakan oleh seorang anak ketika bercakap dengan orang tuanya. Kisah ini adalah kisah sebenar antara perbualan seorang anak dengan ibunya. Kisah ini berlaku ketika aku bertandang ke rumah sahabat lama aku. Perbualannya berbunyi begini:

Si ibu: Farah, tak ajok kawan naik ke?

Aku: Takpe la mak cik, sekejap je.

Farah: Mok, aku nak keluar jap dengan Mek Are ..

Si ibu: Mu jangan balik lewat sangat Farah, petang kekgi aku nak gi umah Pok Long mu pulok.

Farah: Aku gi kejap je mok, nak teman Mek Are beli ikan kat kolam Usop.

Begitulah sedikit sedutan perbualan antara rakan aku dengan ibunya. Pada mulanya, aku sedikit terkejut mendengar perbualan antara dua beranak itu. Mungkin bagi kita yang tidak pernah mendengar perbualan sebegitu agak terkejut kerana terasa begitu tidak sopan apabila anak dan ibu bertutur sedemikian rupa. Namun bagi mereka, semua itu perkara biasa.
Komen:
Saya agak terkejut pada mula, namun apabila difikirkan balik mungkin itu budaya dan didikan yang mereka terima sejak kecil. Lain padang lain belalangnya, lain orang lain pandanganya. Wassalam

Situasi 12: Bahasa Halus dan Indah

Semasa musim cuti sekolah pasti kita tidak sunyi dengan kad jemputan perkahwinan daripada saudara mara mahupun sahabat handai. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah adat resam masyarakat Melayu yang perlu dibangga, iaitu ketika proses merisik, peminangan dan perkahwinan. Masyarakat terdahulu akan berbalas pantun sebelum kata sepakat ditemui. Kini, amalan itu kian terhakis. Namun, saya telah menyaksikan proses berbalas pantun antara pihak lelaki dengan pihak perempuan semasa saya menghadiri majlis pertunangan sahabat baik saya.

Waris perempuan menjual:
Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang dipohon nangka
Bukan sembah sebarang bersembah
Sembah dengan adat pusaka

Wakil lelaki membeli:
Bukan kacang sebarang kacang
Kacang melilit si kayu jati
Bukan datang sebarang datang
Datang membawa hajat di hati

Kemudian wakil lelaki menjual:
Kambing saya di balik pintu
Makannya ke darat rumah
Sirih saya sirih bertentu
Makannya tidak berkunyah

Waris perempuan membalas:
Saya tidak tahu rebana
Dapat setindih tekan-menekan
Saya tak tahu senda makna
Sirih diberi saya makan

Wakil lelaki menerangkan maksud hajatnya dengan mendalam:
Rumah kecil paranya lima
Tempat menyalai ikan kerinci
Ayohai encik saya bertanya
Berapa harga intan disana

Waris perempuan menjawab:
Tali kail panjangnya lima
Akan pengail ikan tenggiri
Tujuh tahil sekati lima
Itulah harga intan di sini

Wakil lelaki memberi kesungguhan untuk meminang dan memberi jaminan:
Kalau tidak rengas di tanjung
Pandan di hulu direbahkan
Kalau tidak emas dikendong
Badan dahulu diserahkan

Waris prempuan menerima:
Menyala sudah cahaya matahari
Lalu sampai ke birai telaga
Muafakat sudah seiya sehati
Tanda hidup kita berkeluarga


Akhirnya termenterainya sebuah ikatan suci antara dua jiwa . Adat resam kita sangat unik dan indah. Teramat rugi sekiranyanya adat resam daripada nenek moyang kita ini hilang ditelan zaman. Saya masih berbangga kerana walaupun adat ini makin lama makin hilang, namun ada juga di golongan orang-orang tua yang masih kuat mempertahankannya. Semoga kita generasi muda dapat mengembalikan adat ini kembali agar tidak hilang jati diri kita sebagai “Anak Melayu”.

Situasi 11: “Bilik Genta?”






Salam Ukhwah..

Pada cuti mid sem yang lalu aku berkesempatan menjejakkan kaki di suatu tempat bersejarah walaupun sebelum ini aku sering melalui kawasan tersebut tetapi tidak berkesempatan untuk singgah di kawasan bersejarah itu. Bukit Puteri merupakan satu tempat bersejarah yang berada berdekatan dengan Pasar Payang di Kuala Terengganu. 


Apa yang aku ingin kongsikan di sini ialah satu perkataan yang tidak pernah terdengar oleh halwa telinga aku selama ini iaitu “Pondok  Genta”. Pada mulanya aku beranggapan bahawa Pondok Genta adalah tempat beristirehat.  Namun,  tanggapan aku jauh melencong kerana aku terpandang sesuatu yang tergantung di dalam bilik tersebut. Aku ketawa sendiri kerana kebodohan diri aku sendiri. Apabila bermulanya kuliah pertama, aku tidak sabar-sabar untuk bermain “Teka Kata” dengan sahabatku.


Aku: Wei, Aja tahu tak apa itu genta?? (aku tersenyum melihat


 muka kelat sahabatku itu)

Aja: Tak, apa benda wei.

Aku: Teka la.

Aja: Aku tak pernah dengar pun.

Aku: Haha..genta tu loceng besar. Tu pun tak tahu.



Genta atau loceng besar diperbuat semasa pemerintahan sultan Zainal Abidin 3 dalam tahun 1326H (1908M) bagi menggantikan Genta pertama yang bernama “Negara” yang diperbuat semasa pemerintahan Sultan Baginda Umar sekitar 1270H (1853). Berat genta ini lebih kurang 175kg dan perbuat daripada tembaga kuning. Pada masa dahulu Genta ini lebih kurang sebagai pemberi amaran sekiranya terjadi apa-apa atau panggilan untuk mengumpulkan rakyat.
Jauh penjalanan luas pengalaman. Itulah antara kata-kata mutiara oleh golongan cerdik pandai. Saya rasa banyak kosa kata yang tidak diketahui maknanya oleh generasi zaman moden sekarang. Elok rasanya sekiranya ada pihak yang mengetengahkan kembali agar generasi sekarang tidak lupa asal usul dan pusaka nenek moyang.

07 Mac 2011

Situasi 10: “Acu Cuba Try Test”

Salam 1 Malaysia.

Semangat untuk aku pulang ke kampung halaman sudah berkobar-kobar tetapi demi menyahut seruan Dr.Siti Saniah untuk menyediakan lima situasi dalam seminggu terpaksa juga aku menyiapkan sebuah lagi situasi terakhir sebagai memenuhi seruan tersebut. Perkara yang aku ingin coretan di laman blog untuk kali ini ialah perkataan dan ejaan yang lain tetapi   sebenarnya membawa maksud yang sama dari segi semantik . Situasi ini berlaku di kolej kediaman iaitu rumah 1-7-1 iaitu rumah aku sendiri. Kisahnya bermula apabila seorang ahli Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) dan dua orang penyelenggara datang ke rumah aku untuk membaiki pintu yang rosak. Aku dengan dengan baik hati membuka pintu apabila terdengar bunyi ketukan. Tukk..tukk..!!!

JMK: kami nak baiki pintu ……bagi tahu yang lain!

Aku: masuk la…(diam sejenak, kemudian)..kak, plug ni dua-dua rosak?

JMK: dah buat laporan blom?

Aku: dah bagi tahu ofis…

Apabila mentena cuba memeriksa tiba-tiba saja plug tersebut tidak rosak seperti yang dilaporkan

Penyelenggara: plug ni ok…tak rosak

Aku: hari tu tak jadi..(diam, kemudian pergi mengetuk pintu rakan serumah )..

Aku: wei..plug tak rosak la…

Rakan serumah: biar betul..hari tu aku nak pakai  tak jadi…acu cuba try test jadi ke tak

Aku: (ketawa)..acu cuba try test bukan ke sama je…

Begitulah peristiwa yang kadang-kadang kita mengunakan kosa kata yang sama sahaja dari segi maknanya tetapi disebabkan perkara itu sudah biasa dituturkan menyebabkan perkara tersebut seakan-akan menjadi kebiasaan dalam pertuturan seharian kita. “Acu cuba try test” juga pada hakikatnya telah merojakkan bahasa secara tidak langsung. Sehubungan dengan itu, mulai hari ini sama-samalah kita cuba memperbaiki bahasa pertuturan kita agar tidak merosakkan bahasa.