13 Mac 2011

Situasi 35: Panggilan Anak kepada Ibu Bapa





Zaman sekarang tidak seperti zaman dahulu, panggilan untuk ibu bapa dahulu kebanyakannya memanggil emak dan ayah atau emak dan abah tetapi sekarang panggilan tersebut sudah bervariasi. Situasi ini umpama ingin mencipta satu kelainan daripada keluarga yang lain.

Seiring dengan peredaran masa, nama emak ini saya rasakan semakin jarang digunakan.

Jika orang Kelantan, panggilan untuk emak sangat berbeza dengan negeri-negeri lain kerana biasanya panggilan untuk emak ialah “Mek”. Manakala panggilan “‘Mak” atau bunyi dalam dialek Kelantan “Mok” adalah panggilan untuk nenek.

Ini antara panggilan-panggilan yang biasa digunakan sekarang untuk panggilan kepada ibu bapa:

Mama dan Papa
Ibu dan Ayah
Mama dan Baba
Mummy dan Daddy
Emak dan Ayah/ Abah
Ummi dan Abi
Bonda dan Ayahanda

Kebiasaanya, panggilan untuk ibu bapa ini dipengaruhi oleh faktor seperti taraf ekonomi, taraf pendidikan, kawasan kediaman sama ada desa atau bandar, keturunan, bangsa dan sebagainya.

Menurut seorang ustaz, panggilan terbaik untuk bapa ialah Abi manakala untuk emak ialah Ummi kerana panggilan inilah yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW. Panggilan Mummy tidak sesuai digunakan kerana membawa pengertian hantu kubur.



Sehubungan itu, gunalah panggilan yang sesuai megikut agama, bangsa dan adat kita. Kadang kala sesuatu panggilan dapat mempengaruhi keeratan perhubungan kita dalam keluarga.

"Al-haqqu bila nizom yaghlibuhul-baatil binnizom"

Maksudnya: "Sesuatu kebenaran yang tidak sistematik akan dikalahkan oleh kebatilan yang sistematik dan terancang

Situasi 34: Di sebalik lagu “Kalau Berpacaran"


Selami dengan jiwa yang suci lagu ini:


Sohaimi Mior Hassan
Kalau berpacaran
Memang banyak pantang larang
Menjaga susila
Ibu bapa adik abang
Apabila berdua
Carilah tempat yang terang
Agar tidak pula
Mencuba aksi terlarang
Korus
Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang
Biar malu-malu
Biar segan-segan
Kerna malu itu
Perisai orang beriman
Ana Raffali
Kalau berpacaran
Jangan tunggu lama-lama
Kalau dah berkenan
Jumpalah ayah dan mama
Hantarkan rombongan
Meminang dengan segera
Kalau terlambat kasihmu disambar buaya
Ulang korus
Altimet
Yeah
Kita sambung cerita
Kalau kamu berdua
Aku yang ketiga
Aku penambah perasa
Akulah pendarab nafsu serakah
Hai teruna bikin perangai selamba
Hati si dara kata tak apa
Berani buat terima padah
Kalau tak sedia
Ucap syahadah

Hati tertarik apabila pertama kali mendengar lagu ini. Lagu ini sudah menjadi salah satu lagu kegemaran saya. Setiap hari saya akan ‘layan’ lagu ini untuk menghiburkan hati.


Pertama sekali saya ingin nak ucapkan tahniah kepada Sohaimi Mior Hassan dan Ana Raffali kerana telah menghasilkan lagu “Kalau Berpacaran”. Gandingan yang menarik kerana ada tiga gaya suara yang berbeza dalam satu lagu.




Lagu berpacaran kita dapat lihat melodinya terdapat elemen-elemen rock. Ketara sekali kesegaran pada melodinya. Tapi bagi saya yang paling menarik tentang lagu ini adalah pemikiran Sohaimi yang dituangkan dalam liriknya. Lagu ini mengenai pihak ketiga apabila lelaki dan wanita berpacaran.

Berdasarkan melodinya jelas bahawa lagu ini membawa pemikiran dan pesan kepada pendengar.

Sebenarnya lagu ini dihasilkan semasa program Bengkel Cipta Ekspres Mei  di Port Dickson. Lagu ini telah muncul sebagai lagu terbaik pada persembahan di bengkel itu. Walaupun dicipta secara ekspres, lagu macam bas ekspres tapi berisi. Kini lagu ‘Kalau Berpacaran’ galak berkumandang di radio-radio.

KOMEN:

Ramai dalam kalangan kita yang mampu mencipta lagu dan menyanyi tetapi kita dapat lihat kekurangan dari segi nilai dan pengajaran yang hendak disampaikan kepada pendengar.
Lagu ‘Kalau Berpacaran‘ adalah usaha membetulkan kesongsangan muda-mudi kita, yang banyak ditunjukkan contoh tidak baik oleh golongan artis-artis. Senang cakap, kalau nak berpacaran, dengarlah lagu ini.



SEKIAN


Situasi 33: Perbezaan Antara 'Guru' Dengan 'Cikgu'

Salam Bitara


 Apakah perbezaan antara Guru dengan Cikgu?

 Cikgu, saya tidak faham dengan soalan ini.

 Guru, saya tidak faham dengan soalan ini.

Saya terbaca dalam satu makalah mengenai perbezaan antara ‘guru’ dengan ‘cikgu’ yang ditulis oleh Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad.

Ramai orang berpendapat bahawa 'cikgu' dan 'guru' seerti dan perkataan itu boleh menggantikan satu sama lain.
 Betul ke??

Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa 'cikgu' merupakan panggilan kepada guru, misalnya, panggilan Cikgu Sarimah, Cikgu Aizah,  Cikgu Hasnida dan lain-lain.
'Guru' pula maknanya, orang yang mengajar (teacher).'Guru' juga membawa pengertian umum bagi 'cikgu'.
Misalnya:
Cikgu Aizah mengajar di sekolah menengah.
Anaknya yang sulung menjadi guru.
Perkataan 'cikgu' berasal daripada dua suku kata iaitu 'cik', singkatan daripada perkataan 'encik'.Kata ganti nama 'encik' juga digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkahwin atau digunakan sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelaki yang tidak begitu dikenali. Singkatan bagi perkataan ini ialah 'cik'.
Misalnya, Cik Hasyimah, Cik Faizal dan lain-lain.


(Kamus Dewan, halaman 420):
Kata ganti nama 'cik' yang diikuti perkataan 'gu', membentuk perkataan 'cikgu', yang digunakan sebagai panggilan kepada guru (dalam bahasa Inggeris, teacher).
Perkataan 'guru' pula bererti orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh.
 Justeru, pendapat yang mengatakan bahawa perkataan 'cikgu' digunakan bagi nama panggilan, misalnya, Cikgu Kamisah, Cikgu Hasnah, Cikgu Farid dan lain-lain (nama-nama khas) dan perkataan 'guru' pula digunakan dalam bentuk nama am bagi perkataan 'cikgu', memanglah betul.
Orang-orang dahulu mengatakan bahawa terdapat perbezaan makna dan tugas antara 'cikgu' dengan 'guru' sebab suku kata 'gu' dalam bahasa Sanskrit bererti orang yang mengajar, sementara suku kata 'ru' pula bererti 'contoh yang baik'.
Kedua-dua suku kata itu disatukan menjadi perkataan 'guru' yang bererti 'orang yang mengajar dan menunjukkan contoh yang baik..
'Cikgu' pula bererti orang yang tugasnya hanya mengajar.
Orang yang dipanggil 'guru' lebih berat tugas dan tanggungjawabnya daripada 'cikgu' sebab 'guru' bertugas mengajar dan menunjukkan contoh yang baik dari segi peribadi dan tingkah laku.
Cikgu hanya mengajar atau menyampaikan ilmu dan tugasnya selesai selepas waktu sekolah. Selepas waktu kerja, cikgu dan murid membawa haluan masing-masing - bak kata orang,  'Lu sapa, gua sapa'.
Berbeza pula dengan 'guru' yang tugasnya mengajar dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk akhlak dan peribadi anak didiknya.
Oleh itu, perkataan 'guru' dengan 'cikgu' berbeza makna dan tugasnya.
Komen:
Pada pendapat saya, dapatan Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad itu benar dan ada lojiknya.

Situasi 32: “Bah”

Salam Sejahtera

Kali ini saya ingin memperkatakan mengenai pengunaan "BAH" yang sering digunakan oleh orang Sabah dan Sarawak.

Masyarakat Sabah memang sinonim dgn perkataan “BAH” yang begitu unik.
Salah satu penggunaan kata yang membezakan bahasa Melayu Sabah dengan bahasa Melayu piawai, ialah kata tambah “-bah” yang sering diguna dalam percakapan.

Berhibur dengan Stacy “Pakai Buang”



Seronok mendengar lagu rancak sebegini?
Dalam lirik  lagu ini, banyak penggunaan perkataan bah.

Chorus

Kenapa bah kau berubah
Kenapa
bah
Kenapa
bah kau berubah
Kenapa
bah
Kenapa bah kau berubah
Kenapa
bah Kenapa bah kau berubah
Kenapa
bah
Jangan jangan jangan
Jangan permainkan


Apa yang anda faham dengan “bah” ?





Cacatan:

Kata tambah “-bah” mempunyai fungsi seperti berikut:
1) Kata penyudah untuk menguatkan ekspresi kata

Contoh ayat:

Iya bah. – Iyalah.

Jangan bah! - Janganlah!

2) Kata tambah pemula untuk memulakan percakapan. Selalunya digunakan pada permulaan kata.
Contoh ayat:

Bah, kamu pigi lah dulu – (Kamu pergilah dulu).
3) Memberi maksud sudah, atau penghabis kata. Pengganti dalam bahasa Melayu ialah “Baiklah”, atau “Begitulah”.

Contoh ayat:

BM Sabah:   “Boy, nanti ko pigi beli beras di kadai sana.”
Boy menjawab, “Bah.”

BM piawai: “Boy, nanti pergi beli beras di kedai.
Boy menjawab, “Baiklah.”
4) Untuk menegur atau menyapa orang. Lazimnya orang Sabah akan menyebut “Bah” bila berselisih dengan orang yang dikenali untuk tujuan menyapa orang tersebut.
Contoh-contoh ayat:

”Ko orang KL bah kan?” (awak orang KL kan?)
”Sejuk bah ni air” (sejuknya air ni)

”Awal lagi bah ni” (masih awal lagi)


Komen:

Kadang-kala kita sering ingin meniru gaya percakapan rakan-rakan negeri lain. Tetapi perkataan “BAH” ini sering disalahertikan oleh kita.
Betul atau tidak  penggunaan ‘BAH’ yang kita gunakan?
Fikirkan?

Mari kita menghayati dan renungi penyalahgunaan “BAH” dalam ayat-ayat ini:
“Apa kabar bah?” – Kononnya mahu bertanyakan khabar. (Ini salah)

“Suda makan ka bah?” (Aneh….)

 “Bila balik bah?” (Tidak betul)

Oleh itu, marilah bersama-sama menggunakan bahasa Sabah dengan betul, jangan memalukan diri anda ! kononnya menggunakan Bahasa Sabah tetapi sebenarnya salah... kita 1 MALAYSIA






Situasi 31: “Tuan/puan dijemput hadir dan kehadiran adalah diwajibkan.”

Salam Sejahtera

Pada hujung minggu yang lalu, aku berkesempatan pulang ke kampung halaman.
Aktiviti rutinku saban pagi ialah mengemas rumah. 


Semasa aku sedang sibuk mengemas,aku terpandang beberapa satu surat pekeliling di atas meja abangku.Aku sedia maklum bahawa amalan menerima surat pekeliling daripada majikan oleh pegawai-pegawai di bawahnya memang sesuatu yang lumrah dalam dunia pengurusan. Dalam surat tersebut abangku dikehendaki menghadiri suatu majlis rasmi.

Apa yang membuatkan aku terfikir sejenak ialah bahasa yang terkandung dalam surat tersebut. Salah satu ayat dalam surat itu berbunyi:

Tuan/puan dijemput hadir dan kehadiran adalah diwajibkan.”

Memandangkan aku mempunyai asas dalam sintaksis, aku  lihat ayat ini menetapi aturan nahu dan tidak janggal bunyinya. Sebenarnya ayat  ini merupakan ayat majmuk gabungan yang menggabungkan dua ayat penyata, iaitu:

Tuan/puan dijemput hadir’ dan
‘Kehadiran adalah diwajibkan’.

Ayat gabungan ini  merupakan ayat yang terdiri daripada dua ayat penyata untuk dijadikan ayat majmuk gabungan  dengan menggunakan kata hubung dan.

Menurut Tatabahasa Dewan (1993):



Ayat majmuk gabungan ialah ayat-ayat yang disambungkan itu setara sifatnya, iaitu ayat-ayat itu sama taraf dan boleh berdiri sendiri. Hubungan antara satu ayat dengan yang lain wujud oleh sebab ayat-ayat tersebut disusun secara berturut-turut.

Sudah nyata timbul keraguan tentang makna ayat ini kerana terdapat pertentangan makna dalam ayat ini. Jika diamati ayat  tersebut dengan teliti, jelas wujud keraguan tentang makna yang didukung dalam ayat ini.

Hal ini kerana terdapat pertentangan makna antara ayat  ‘Tuan/puan dijemput hadir’ dan ayat  ‘Kehadiran adalah diwajibkan’. Yang menjadi pertentangan makna dalam ayat ialah penggunaan perkataan jemput dan wajib.

Berdasarkan komponen makna bagi perkataan jemput dan wajib, jelaslah bahawa kedua-duanya tidaklah bersinonim. Kata jemput bermaksud ‘pelawa, alu-alu,’ manakala wajib pula diertikan sebagai mesti, perlu  dan tidak boleh tidak. Dengan demikian jelas bahawa dalam ayat-ayat ini terdapat percanggahan makna antara kata jemput dan wajib.

Komen:
Penggunaan perkataan jemput hadir dan wajib hadir menimbulkan ketaksaan makna dalam kalangan pembaca. Timbul beberapa tanda tanya:

Adakah semua staf diwajibkan hadir majlis itu?
Adakah semua staf hanya dijemput hadir?

Kalau semua staf diwajibkan hadir, memadailah kalau ayat itu berbunyi ‘Tuan/puan diwajibkan hadir’ sahaja dan kalau tidak diwajibkan hadir, sepatutnya ayat itu berbunyi, “Tuan-tuan dijemput hadir’ sahaja.

Dengan cara yang sedemikian, pembaca surat pekeliling akan mengetahui maksud surat tersebut, lalu akan mengambil keputusan yang tepat, sama ada mahu hadir atau tidak hadir dalam majlis tersebut.

Oleh yang demikian, aspek makna tidak boleh dikesampingkan ketika membina atau mengujarkan ayat. Berhati-hati ketika membina ayat supaya tidak terperangkap dalam hal membina ayat yang taksa!